53:45Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang menciptakan pasangan - lelaki dan perempuan, -
53:46Dari (setitis) air mani ketika dipancarkan (ke dalam rahim);
53:47Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang tetap menghidupkan semula (makhluk-makhluk yang mati);
53:48Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang memberikan (sesiapa yang dikehendakiNya) apa yang diperlukannya dan memberikannya tambahan yang boleh disimpan;
53:49Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah Tuhan (Pencipta) "Bintang Syikra;
53:50Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang membinasakan kaum "Aad" yang pertama (kaum Nabi Hud), -
53:51Dan kaum "Thamud" (kaum Nabi Soleh). Maka tidak ada seorangpun (dari kedua-dua kaum itu) yang dibiarkan hidup.
53:52Dan kaum Nabi Nuh sebelum itu (telah juga dibinasakan). Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang sangat zalim dan sangat melampaui batas.
53:53Dan bandar-bandar yang ditunggang balikkan itu, Dia lah yang (mengangkatnya ke angkasa dan) menghempaskannya ke bumi;
53:54Lalu (penduduk) bandar-bandar itu diliputi azab seksa yang meliputinya.
53:55Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhanmu (yang tidak terhingga itu) engkau ragu-ragukan (wahai manusia)?
53:56(Al-Quran) ini adalah pemberi amaran di antara jenis-jenis amaran yang telah lalu!
53:57Telah hampir masa datangnya saat yang dekat itu (hari kiamat);
53:58Tidak ada sesiapapun selain Allah yang dapat menahan atau menghapuskan huru-hara "hari kiamat" itu.
53:59Maka patutkah kamu merasa hairan terhadap keterangan-keterangan Al-Quran ini (sehingga kamu mengingkarinya)?
53:60Serta kamu tertawa (mengejek-ejeknya), dan kamu tidak mahu menangis (menyesali kesalahan kamu serta takutkan balasan buruk yang akan menimpa kamu)?
53:61Sedang kamu adalah orang-orang yang sombong angkuh, lagi yang melalaikan kewajipan?
53:62Oleh yang demikian, hendaklah kamu sujud kepada Allah (yang telah menurunkan Al-Quran itu), dan beribadatlah kamu kepadaNya (dengan sepenuh-penuh tauhid).
54:1Telah hampir saat (kedatangan hari kiamat) dan terbelahlah bulan.
54:2Dan kalau mereka (kaum musyrik Mekah) melihat sesuatu mukjizat, mereka berpaling ingkar sambil berkata: (Ini ialah) sihir yang terus menerus berlaku.
54:3Dan (telah menjadi adat) mereka mendustakan (Nabi Muhammad dan mukjizat-mukjizat yang dibawanya) serta menurut hawa nafsu mereka, sedang tiap-tiap perkara tetap (menurut keadaan yang ditentukan oleh Allah).
54:4Dan sesungguhnya! Telah sampai kepada mereka (dengan perantaraan Al-Quran), sebahagian dari kisah-kisah dan berita (umat-umat yang telah lalu), yang mengandungi perkara-perkara yang cukup untuk mencegah mereka (dari perbuatan kufur itu).
54:5(Yang demikian ialah) pengajaran yang cukup sempurna; dalam pada itu, segala peringatan dan amaran tidak akan mendatangkan faedah (kepada mereka yang ingkar).
54:6Oleh itu, berpalinglah dari mereka (wahai Muhammad dan janganlah dihiraukan). (Ingatlah) masa (malaikat) penyeru menyeru (mereka pada hari kiamat) kepada perkara yang tidak diingini (oleh orang yang bersalah);