80:41Diliputi oleh warna hitam legam dan gelap-gelita. -
80:42Mereka itu ialah orang-orang yang kafir, yang derhaka.
81:1Apabila matahari dilingkari cahayanya (dan hilang lenyap);
81:2Dan apabila bintang-bintang gugur berselerak;
81:3Dan apabila gunung-ganang di terbangkan ke angkasa (setelah dihancurkan menjadi debu);
81:4Dan apabila unta-unta yang bunting terbiar;
81:5Dan apabila binatang-binatang liar dihimpunkan;
81:6Dan apabila lautan meluap-luap bercampur-baur;
81:7Dan apabila tiap-tiap diri disatukan dengan pasangannya;
81:8Dan apabila anak perempuan yang ditanam hidup-hidup: ditanya, -
81:9Dengan dosa apakah ia dibunuh?
81:10Dan apabila surat-surat amal dibentangkan;
81:11Dan apabila langit ditanggalkan dari tempatnya;
81:12Dan apabila neraka dinyalakan menjulang;
81:13Dan apabila Syurga didekatkan;
81:14(Setelah semuanya itu berlaku), tiap-tiap orang akan mengetahui tentang amal yang telah dibawanya.
81:15Oleh itu, Aku bersumpah dengan bintang-bintang yang tenggelam timbul;
81:16Yang beredar, juga yang tetap pada tempatnya;
81:17Dan malam, apabila ia hampir habis,
81:18Dan siang, apabila ia mulai terang;
81:19Sebenarnya Al-Quran itu, sungguh-sungguh Kalamullah (yang disampaikan oleh Jibril) Utusan yang mulia,
81:20Yang kuat gagah, lagi berkedudukan tinggi di sisi Allah yang mempunyai Arasy,
81:21Yang ditaati di sana (dalam kalangan malaikat), lagi dipercayai.
81:22Dan sebenarnya sahabat kamu (Nabi Muhammad) itu (wahai golongan yang menentang Islam), bukanlah ia seorang gila (seperti yang kamu tuduh);
81:23Dan (Nabi Muhammad yakin bahawa yang disampaikan kepadanya ialah wahyu dari Tuhan, kerana) demi sesungguhnya! Nabi Muhammad telah mengenal dan melihat Jibril di kaki langit yang nyata.
81:24Dan bukanlah Nabi Muhammad seorang yang boleh dituduh dan disangka buruk, terhadap penyampaiannya mengenai perkara-perkara yang ghaib.
81:25Dan sebenarnya Al-Quran itu bukanlah perkataan Syaitan yang kena rejam.
81:26(Dengan yang demikian) maka ke manakah kamu hendak pergi (kiranya kamu masih menyeleweng dari jalan Al-Quran)?
81:27Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi seluruh penduduk alam:
81:28Iaitu bagi sesiapa dari kamu yang mahu tetap teguh di atas jalan (Islam) yang betul.
81:29Dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu (mengenai sesuatupun), kecuali dengan cara yang diatur oleh Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam.