82:1Apabila langit terbelah;
82:2Dan apabila bintang-bintang gugur bertaburan;
82:3Dan apabila lautan pecah bercampur-baur;
82:4Dan apabila kubur-kubur dibongkarkan, -
82:5(Setelah semuanya itu berlaku), tiap-tiap orang akan mengetahui apa yang telah dikerjakan dan ditinggalkannya.
82:6Wahai manusia! Apakah yang memperdayakanmu - (berlaku derhaka) kepada Tuhanmu yang Maha Pemurah? -
82:7Tuhan yang telah mencipta dan mengatur kejadianmu, lalu menjadikan anggotamu sesuai (dengan tujuan yang kerananya anggota itu diadakan), serta menjadikan (binaan tubuh badanmu) sama padan dengan kekuatannya;
82:8Dalam bentuk dan rupa apa sahaja yang dikehendakiNya, Ia menyusun kejadianmu.
82:9Sebenarnya tidak ada yang memperdayakan kamu (hai golongan yang ingkar)! Bahkan kamu sendiri tidak percayakan adanya hari pembalasan.
82:10Padahal sesungguhnya, ada malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawas segala bawaan kamu,
82:11(Mereka adalah makhluk) yang mulia (di sisi Allah), lagi ditugaskan menulis (amal-amal kamu);
82:12Mereka mengetahui apa yang kamu lakukan.
82:13(Gunanya catitan malaikat-malaikat itu ialah: untuk menyatakan siapa yang berbakti dan siapa yang bersalah) - kerana sesungguhnya: orang-orang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), tetap berada dalam Syurga yang penuh nikmat;
82:14Dan sesungguhnya orang-orang yang bersalah, bertempat dalam neraka yang menjulang-julang.
82:15Mereka menderita bakaran neraka itu pada hari pembalasan,
82:16Dan mereka (sentiasa berada dalam azab seksanya), tidak ghaib daripadanya.
82:17Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan hari pembalasan itu?
82:18Sekali lagi, apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan hari pembalasan itu?
82:19(Hari itu ialah) hari seseorang tidak dapat memberikan pertolongan sedikitpun kepada orang lain, dan segala urusan pada hari itu tertentu bagi Allah.
83:1Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan),
83:2Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang cupak) dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup,
83:3Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi.
83:4Tidakkah mereka menyangka bahawa mereka akan dibangkitkan (hidup semula sesudah mati)?